Carian

Wednesday, October 20, 2010

Kempen Kesedaran yang Dijalankan

ARKIB : 17/08/2010
Kempen beri kesedaran generasi muda
KUCHING 16 Ogos - Pelancaran Kempen Derma Orang Utan Untuk Sekolah-Sekolah di negeri ini yang dianjurkan Sarawak Forestry Corporation adalah bertujuan untuk menanamkan kesedaran di kalangan generasi muda terhadap konservasi hidupan liar.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan berkata, pelajar sekolah adalah generasi paling sesuai untuk disemai dengan sifat yang sihat serta terdidik dalam usaha membangunkan individu yang prihatin serta bertanggungjawab.

"Saya melihat acara ini lebih kepada kempen kesedaran dan berkongsi benih konservasi hidupan liar di kalangan pelajar sekolah atau generasi muda berbanding nak memungut sumbangan daripada mereka.

"Lebih penting lagi ialah tahap kesedaran yang diterapkan di kalangan generasi muda tentang konservasi hidupan liar," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Kempen Derma Orang Utan Untuk Sekolah-sekolah di Sarawak di Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Mohd. Naroden Majais.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber merangkap Pengarah Hutan dan Kontroler Hidupan Liar, Len Talif Salleh.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, Sarawak mempunyai sejarah yang lama dalam usaha perlindungan dan konservasi alam sekitar di negeri ini.

Katanya, negeri ini telah mengguna pakai keseluruhan falsafah dengan memberi keutamaan dalam melindungi persekitaran asli dan menggabungkan elemen-elemen pelindungan serta konservasi alam sekitar dalam kebanyakan pelan, polisi, undang-undang dan peraturan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) dalam konservasi asli di lapangan termasuk pemulihan biodiversiti dan pengurusan lestari sumber genetik untuk pembangunan perhutanan dan masyarakat.

"Justeru, saya menyeru orang ramai untuk mewujudkan hubungan sinergi yang tertumpu kepada usaha dan tindakan bersepadu ke arah bangsa yang lebih baik serta bertanggungjawab tentang dunia di sekeliling mereka, alam sekitar dan persekitaran," ujarnya

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails